Presiden, Persatuan Bolasepak Jerman (DFB), Reinhard Grindel, memuji semangat dan infrastruktur negara itu selepas 18 stadium menghantar permohonan untuk terlibat dalam penganjuran Euro 2024.

DFB memerlukan kesemua pemohon menepati kapasiti melebihi 30,000 tempat duduk dengan Stadium Freiburg dan Karlsruhe's Wildparkstadion, yang sedang dalam proses menambah tempat duduk, turut menghantar permohonan.

Sebanyak 16 lain datang dari Berlin (Olympiastadion), Bremen (Weserstadion), Dortmund (Signal Iduna Park), Dresden (DDV Stadium), Dusseldorf (ESPRIT arena), Frankfurt am Main (Commerzbank Arena), Kaiserslautern (Fritz-Walter-Stadion), Cologne (RheinEnergieStadion), Leipzig (Red Bull Arena), Monchengladbach (Borussia Park), Munich (Allianz Arena), Nuremberg (Stadium Nuremberg) dan Stuttgart (Mercedes-Benz Arena).

Grindel, dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman rasmi DFB, berkata: "Kami sangat teruja kerana mendapat banyak permohonan.

"Ini membuktikan semua pihak bersemangat dalam penganjuran Euro 2024 di Jerman.

"Ini juga sebagai bukti kami memiliki infrastruktur antara yang terbaik di dunia.

"Kami akan meneliti kriteria ditawarkan setiap stadium sebelum mengemukakan 10 lokasi terbaik."

DFB perlu membuat pengumuman minat mereka untuk menganjurkan Euro kepada UEFA sebelum 3 Mac ini.

UEFA akan mengumumkan keputusan pada September 2018.