Ketua pasukan Jerman, Julian Draxler, menggesa rakan sepasukannya tampil garang di awal permainan menjelang aksi final Piala Konfederasi 2017 menentang Chile di St Petersburg, malam ini.

Biarpun beraksi tanpa beberapa tonggak utama, Draxler mahu pemain-pemain skuad kendalian Joachim Low itu mengelak daripada mengulangi aksi ketika mencatat keputusan seri 1-1 menentang lawan sama di peringkat kumpulan.

Dalam pertemuan sebelum ini, Jerman ketinggalan hasil jaringan awal Alexis Sanchez pada minit keenam sebelum Lars Stindl mengikat kedudukan menerusi jaringan empat minit sebelum tamat babak pertama.

Bagi Draxler yang menggantikan tempat Manuel Neuer selaku ketua pasukan, dia mengharapkan rakan-rakannya mempamerkan aksi lebih baik dalam aksi di Stadium Krestovsky untuk membolehkan mereka menjulang trofi kejuaraan.

“Saya percaya perlawanan final akan berbeza dengan aksi peringkat kumpulan,” kata Draxler.

“Kami tidak mempamerkan aksi terbaik dan tampak goyah pada 15 minit pertama.

“Chile adalah pasukan yang hebat dan sudah pasti kami perlu menampilkan corak permainan yang lebih kemas di sepanjang 90 minit untuk menewaskan mereka,” tambahnya.

Draxler juga tidak mahu perbezaan posisi yang ditetapkan Low menjadi alasan untuknya tidak menyerlah.

“Saya banyak bermain di bahagian kiri pada tahun lalu dan kini jurulatih meletakkan kepercayaan serta lebih kebebasan untuk saya bergerak.

“Sudah tentu saya akan berusaha keras untuk membalas kepercayaan itu,” ujar Draxler.