Leroy Sane adalah masa depan pasukan Jerman dan mereka harus berbangga mendapat khidmatnya, kata Jonathan Tah dari Bayer Leverkusen.

Bintang Manchester City itu menikmati musim yang hebat di bawah bimbingan Pep Guardiola, dengan memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) bulan lalu dan hampir pasti menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai City dari Schalke pada 2016 dengan nilai £37 juta (RM203.3j) dan dijangka memainkan peranan penting bersama Jerman dalam misi mempertahankan Piala Dunia di Russia, musim panas ini.

Tah, rakan sepasukan Sane di peringkat remaja dan senior, berkata Jerman beruntung memilikinya.

"Pastinya, dia adalah masa depan," katanya kepada Omnisport ketika ditanya mengenai bakat muda terhebat Jerman itu. "Saya fikir Jerman sepatutnya bangga mempunyai pemain sepertinya.

"Apa yang mereka lakukan pada usia muda cukup cemerlang, ada juga yang lebih baik dan saya fikir mereka adalah tonggak masa depan," katanya.

Pasukan kendalian Joachim Low itu, yang diundi dalam Kumpulan F Piala Dunia di samping Korea Selatan, Mexico dan Sweden, dijangka berdepan cabaran tersendiri untuk layak ke pusingan 16.

Tah menegaskan Jerman seharusnya mara sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir, namun berasakan terdapat banyak calon untuk memenangi piala tersebut.

"Saya tidak fikir ia adalah kumpulan yang mudah tetapi matlamat utama Jerman adalah memastikan mara jauh dalam Piala Dunia," katanya. "Apabila anda mengambil bahagian dalam temasya seperti ini, matlamat utama adalah untuk memenanginya. Jika tidak, anda tidak perlu mengambil bahagian.

"Terdapat banyak pasukan (yang mampu menjuarainya) dan pasukan dari Amerika Selatan semakin mantap. Mereka mempunyai ramai pemain yang beraksi di kelab utama Eropah.

"Sukar untuk menamakan pasukan pilihan kerana terdapat banyak negara yang mempunyai potensi untuk pergi jauh," katanya lagi.