Kapten Jepun, Makoto Hasebe, menggesa pasukannya untuk mencipta kemenangan ke atas Poland dan mara ke pusingan 16 Piala Dunia dengan penuh bergaya.

Samurai Biru merupakan pendahulu Kumpulan H selepas dua perlawanan apabila mencipta kemenangan ke atas Colombia dan seri 2-2 dengan Senegal.

Satu mata ketika berdepan Poland yang sudah tersingkir akan menjamin tempat buat Jepun dalam pusingan seterusnya di mana mereka akan berdepan Belgium atau England.

Bagaimanapun, Hasebe mahu meraih tiga mata berdepan skuad kendalian Adam Nawalka itu bagi membina momentum dalam kejohanan kali ini.

"Saya tidak berasakan pasukan mahu seri," katanya.

"Walaupun kami telah meraih empat mata, kami belum meraih apa-apa kejayaan lagi. Perlawanan seterusnya akan menjadi penentuan. Kami memerlukan mata penuh dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Ketika Jepun meraih kejayaan di Russia, Poland dihujani kritikan media -- persembahan ketika berdepan Senegal dan Colombia amat mengecewakan dan mereka mahu pulang dengan kemenangan ketika beraksi di Volgograd.

Kamil Grosicki mengakui ia adalah satu pengalaman amat mengecewakan tetapi aksi berdepan Jepun akan meningkatkan semula maruah mereka.

"Kami mengecewakan seluruh negara Poland. Kami akan cuba meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir," kata Grosicki.

Pemain tumpuan

Jepun – Maya Yoshida


Robert Lewandowski akan berusaha untuk mencetak jaringan dalam Piala Dunia kali ini. Pemain yang paling sesuai untuk menghalangnya adalah pertahanan Southampton, Maya Yoshida, yang bakal berdepan saingan yang paling sukar baginya dalam kejohanan ini.

Poland – Arkadiusz Milik

Persembahan hambar Milik ketika berdepan Senegal menyaksikan dia diketepikan ketika berdepan Colombia. Ia ternyata tidak membantu Poland dan penyerang itu sekali lagi akan duturunkan untuk menampilkan persembahan lebih memberangsangkan.