Penyandang juara Liga Juara-Juara AFC, Jeonbuk Motors, digantung setahun daripada menyertai kejohanan peringkat Asia musim 2017 berikutan skandal mengatur perlawanan dalam Liga Korea Selatan (Liga-K), demikian pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tahun lalu, Jeonbuk dipotong sembilan mata dan didenda hampir USD85,000 (RM378,300) oleh Persatuan Bola Sepak Korea selepas seorang daripada peninjau pemain berbakat mereka didapati membuat pembayaran kepada pengadil pada 2013.

Tindakan memotong mata itu secara tidak langsung mengurniakan gelaran Liga-K kepada FC Seoul untuk mengatasi Jeonbuk.

Jeonbuk menewaskan Al-Ain 3-2 secara agregat dalam aksi final Liga Juara-Juara AFC, namun tidak diberi peluang untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Juara Korea empat kali itu mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

"Badan Bebas Kawalan Penyertaan AFC telah memutuskan Jeonbuk Motors tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam saingan AFC musim 2017 kerana penglibatan secara tidak langsung dalam mempengaruhi keputusan perlawanan dalam Liga-K 2013 dan 2014," menurut kenyataan kelab itu.

"Penglibatan secara tidak langsung itu bertentangan dengan Artikel 11.8 Panduan Penyertaan Pertandingan Kelab AFC 2017-2020. Sehubungan itu, Jeonbok Motors dianggap gagal mematuhi kriteria kesukanan untuk menyertai Liga Juara-Juara AFC 2017."

Jeju United, yang menamatkan saingan Liga-K di tempat ketiga di belakang Jeonbuk, diberikan hak di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC, sementara Ulsan Hyundai akan beraksi di peringkat kelayakan.