AS Roma memuktamadkan perpindahan bernilai EUR5 juta (RM24 juta) untuk mendapatkan perancang Lyon, Maxime Gonalons.

Pemain berusia 28 tahun itu menandatangi kontrak selama empat tahun untuk menyertai skuad bimbingan Eusebio Di Francesco itu, sekaligus menamatkan hubungannya dengan Lyon selepas bakatnya diasah di akademi kelab Perancis itu dan membuat penampilan pertama pada 2009.

"Selepas berbicara dengan Pengarah Sukan, Monchi, dan jurulatih mengenai cita-cita mereka, saya tidak ragu-ragu untuk membuat keputusan," kata Gonalons yang telah beraksi untuk Perancis sebanyak tujuh kali.

"Atas sebab ini, saya tidak mempunyai sebarang isu dan semuanya dibereskan dengan segera.

"Saya sudah tidak sabar untuk cabaran baru ini."

Ketibaan Gonalons menambah lagi kekuatan Roma yang sudah mendapatkan khidmat Rick Karsdorp, Hector Moreno dan Lorenzo Pellegrini di bawah Monchi.

Begitupun, jaguh Serie A itu melepaskan Mohamed Salah ke Liverpool manakala Leandro Paredes ke Zenit.