Pengendali PKNS, E. Elavarasan, berasakan kekalahan 3-1 kepada Kelantan dalam aksi Liga Super malam tadi berpunca daripada kepincangan barisan tengah yang tidak dapat menjana serangan dengan baik.

Sebelum perlawanan bermula, Elavarasan sudah pun melahirkan kerisauan ekoran tidak dapat menurunkan pemain import, Lucas Espindola.

Import Argentina itu masih belum dibenarkan beraksi kerana masih belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Khidmat pemain itu ditagih kerana bahagian tengah PKNS tampak lemah selepas kehilangan khidmat Gabriel Guerra yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Perlawanan pada Jumaat berdepan Kelantan menyaksikan kerisauan Elavarasan menjadi kenyataan apabila barisan tengah PKNS kekurangan daya kreatif untuk menjana bantuan kepada pemain penyerang.

"Biasanya apabila kekurangan seorang pemain import, persembahan pasukan juga akan menurun.

"Jadi, mungkin dia akan diturunkan dalam aksi seterusnya. Ketika ini, jentera serangan kurang mendapat hantaran, jadi kami perlu memperbaiki aspek itu," kata Elavarasan.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, lega kerana berjaya memulakan perlawanan pertama mereka dengan kemenangan, selepas pertemuan dengan Melaka United minggu lalu terpaksa ditunda.

Biarpun mengakui pasukan Kelantan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dalam pertemuan semalam, dia sedar apa yang penting adalah mengutip tiga mata.

"Alhamdulilah, dalam tempoh singkat pemain saya mempamerkan aksi yang baik.

"Yang penting, kami meraih tiga mata, jumlah jaringan itu perlu diketepikan," ujar Zahasmi.