Sebelas gol dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super merupakan statistik jaringan yang cukup jelas bagi membuktikan kehebatan penggempur Kedah menjelang pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan PDRM FA di Alor Setar, malam esok.

Mereka mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Perak, disusuli kejayaan membenam Negeri Sembilan 5-0, dan kemenangan selesa 3-0 ke atas Terengganu, baru-baru ini.

Tidak menafikan penampilan anak buahnya yang berada di kemuncak prestasi, jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun menuntut momentum cemerlang itu diteruskan ketika bertemu The Cops.

"Jentera serangan kami bekerja keras dalam sesi latihan untuk mendapatkan jaringan.

"Akhirnya, kombinasi Shane Smeltz dan Thiago Augusto memang menjadi nadi utama buat kami menjaringkan gol pada malam esok," katanya.

Cheng Hoe, bagaimanapun, tidak akan memandang mudah keupayaan PDRM, lebih-lebih lagi mereka mencatatkan kemenangan dan seri dalam dua perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

"Mereka mempunyai senjata rahsia. Mungkin dengan kemenangan tempoh hari ke atas Kelantan, mereka memiliki keyakinan tinggi.

"Mungkin mereka juga boleh buat kejutan di Stadium Darulaman nanti," tambahnya.