Jentera seragan "berkelas dunia' milik Atletico Madrid, yang dibarisi Antoine Griezmann, Luis Suarez, Angel Correa dan Joao Felix, akan membantu kelab itu menamatkan saingan di atas Real Madrid, Barcelona atau mana-mana pencabar lain dalam persebutan gelaran LaLiga musim ini.

Itu pandangan bekas pertahanan Valencia, Celta Vigo, Villarreal dan Real Zaragoza, Jose Enrique, yang turut mendedahkan kepada Stats Perform bahawa dia menjangkakan Atletico juga akan memberikan saingan merebut kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di bawah bimbingan jurulatih yang "menjengkelkan", Diego Simeone.

Pasukan juara bertahan Liga Sepanyol itu kini sedang terikat mata yang sama dengan seteru setempat, Madrid, di tangga teratas LaLiga selepas lapan perlawanan hasil kemenangan 2-0 ke atas Barcelona -- yang ketinggalan lima mata untuk menduduki tangga kesembilan dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan -- sebelum waktu rehat antarabangsa kali ini.

Atletico memulakan kempen mempertahankan kejuaraan mereka dengan agak sempurna meskipun keciriran mata ketika menentang Villarreal, Athletic Bilbao dan Alaves, di mana tewas 0-1 kepada Alaves merupakan keputusan terburuk mereka musim ini.



"Saya fikir ia akan menjadi milik Atletico," kata Enrique, yang menghabiskan tempoh lapan tahunnya di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Newcastle United dan Liverpool, ketika di tanya pasukan mana yang akan memenangi gelaran LaLiga musim ini.

"Saya tahu ada beberapa perlawanan yang mereka bergelut untuk menjaringkan gol, dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90 atau sesuatu seperti itu.

"Tetapi barisan pemain yang mereka ada benar-benar luar biasa. Anda dapat melihat kekuatan skuad yang mereka ada. Meraka baru sahaja menandatangani Griezmann dan mereka ada Suarez, Joao Felix dan Correa.

"Anda sedang bercakap tentang empat penyerang itu, yang saya rasa mereka bolah beraksi baik dalam mana-mana pasukan di dunia, dan keempat-empat mereka adalah penyerang.

"Correa adakalanya boleh beraksi di bahagian sayap, Joao Felix juga seperti itu. Tetapi anda sedang bercakap tentang empat penyerang yang pada pandangan saya adalah berkelas dunia. Jadi, bagi saya, mereka amat luar biasa.

"Benar mereka ada kekurangan daripada segi bertahan. Tetapi ini adalah pasukan yang saya percaya akan memenangi liga tahun ini.

"Dalam UCL, mereka sekali lagi akan menjadi pasukan yang menjengkelkan kerana Simeone sentiasa menjadi seorang yang amat menjengkelkan," katanya.