Jurulatih Sabah, Jelius Ating, tetap yakin dengan formasi 3-5-2 yang digunakannya dan percaya taktikal itu mampu membantu mereka membenam MISC-MIFA dalam Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Jurulatih berusia 47 tahun itu mula menggunakan formasi berkenaan dalam dua perlawanan lalu, namun masih belum mencatat kemenangan.

Sang Badak pada mulanya menggunakan formasi 4-4-2 sebelum menukarnya kepada 3-5-2 dalam aksi liga bertemu Sarawak yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Jelius sekali lagi mempertaruhkan formasi tersebut ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala FA dan taktikal itu ternyata berjaya menyukarkan juara Piala Malaysia musim lalu itu apabila terpaksa mengharungi permainan selama 120 minit sebelum menang tipis 2-1.

"Besar kemungkinan kami sekali lagi akan guna 3-5-2, semua pemain bebas daripada kecederaan dan kami akan kekalkan kesebelasan utama sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Jelius berharap anak buahnya melupakan kekecewaan mereka selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, seterusnya bangkit mencatat kemenangan dalam perlawanan esok.

"Kami telah mengalami kekalahan pertama musim ini kepada JDT, tetapi itu tidak bermakna pasukan ini tidak mampu bangkit.

"Saya telah bercakap dengan mereka (pemain) supaya mengekalkan permainan baik, sekali gus mencatat kemenangan," katanya.

Jelius dijangka terus mengharapkan ketangkasan Robson Rendy Rining di gawang gol dengan dibantu tiga pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde dan Maffry Balang.

Heo Jaenyong pula dijangka sekali lagi akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Jenius Karib dan Maxsius Musa manakala dua pemain import, Lee Gil Hoon dan Hector Omar Ramos akan menggalas tugas untuk memburu gol.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kini berada di kedudukan kedua liga di belakang Felda United selepas mengutip lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua seri.