Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berharap pasukannya akan beraksi lebih baik apabila turun menentang Sarawak dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, malam ini.

Perlawanan itu akan bermula pada jam 9 malam dan ia diadakan di Stadium UMS berikutan masalah lampu limpah di Stadium Likas, iaitu venue sebenar sebelum ini.

Jelius berkata dia akan menurunkan barisan pemain sama, termasuk semua empat import, serta formasi permainan turut dikekalkan.

"Saya memang ada beberapa pilihan kombinasi pemain dan formasi lain tetapi biarlah kita mantapkan dahulu apa yang sesuai dengan kemampuan pasukan sekarang sebelum mencuba yang baru.

"Saya risau kalau kita cuba benda baru sedangkan apa yang kita ada pun belum mantap, akhirnya kita tidak dapat meraih apa-apa," katanya.

Jurulatih itu berkata aksi malam ini juga adalah yang kedua buat kesemua pemain import bermain bersama, iaitu Lee Gil Hoon, Heo Jaenyong, Ruduljob Paunovic dan Francis Kasonde.

"Kita mungkin sudah tiada perlawanan persahabatan lagi dengan pasukan yang bagus walaupun saya mengharapkan dapat satu lagi minggu depan sebelum kita meneruskan cabaran dalam saingan sebenar (Liga Premier) pada 30 Jun.

"Oleh itu, saya perlukan perlawanan malam ini untuk terus memantapkan kombinasi pemain dan formasi permainan yang saya terapkan.

"Pada masa sama, saya mahu manfaatkan perlawanan ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin tambahan idea untuk mempertingkatkan lagi prestasi pasukan," katanya.

Ia adalah perlawanan persahabatan kedua bagi kedua-dua pasukan selepas pertemuan pertama di Stadium Likas, Rabu lalu, berpihak kepada Sabah 2-1.

Gol Sabah dijaringkan Gil Hoon pada minit ke-43 dan gol sendiri pemain lawan, Demerson Bruno, pada minit ke-64 manakala gol Sarawak dijaringkan Mateo Roskam pada minit ke-75.

"Dalam perlawanan pertama itu, rentak kita menjadi lebih baik selepas permainan yang tidak kemas pada 30 minit pertama. Oleh itu, saya harap nanti kita dapat rentak baik lebih awal dan lebih lama," katanya.

Sabah yang kini di tangga kesembilan dengan 11 mata selepas 13 perlawanan akan meneruskan cabaran menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada hujung bulan ini.