Pengendali Sang Badak, Jelius Ating, gembira kerana anak buahnya telah mula menunjukkan peningkatan serta 'lebih berani' untuk bermain bola.

Dalam aksi persahabatan bertemu Sarawak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, Sabah berjaya mengejutkan pasukan dari Liga Super berkenaan dengan kemenangan 2-1.

"Pada awal permainan, kami tidak beraksi dengan baik serta tidak begitu tersusun. Namun, pada penghujung separuh masa pertama, kami mula mempamerkan keserasian dan begitu juga pada babak kedua.

"Pemain-pemain mempamerkan persembahan yang baik dan ini sangat penting kerana ia perlawanan pertama kami menggunakan kesemua empat pemain import yang ada," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Jelius berkata selain menguji kekuatan pasukan dengan kehadiran kesemua pemain import, perlawanan malam tadi turut memberi peluang kepadanya untuk mengenal pasti kelemahan yang ada dalam pasukan.

"Saya melihat kelemahan di beberapa posisi dan saya harap kami akan mengatasinya serta melakukan lebih baik dalam aksi kedua, Ahad nanti," katanya.

Sang Badak sekali lagi akan turun menentang skuad Ngap Sayot pada Ahad ini, juga di Stadium Likas, bermula jam 9 malam.

Perlawanan malam tadi menyaksikan penyerang Sabah dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon, menanduk kemas hantaran Sabri Sahar pada minit ke-43 untuk mendahului kedudukan 1-0.

Gil Hoon kemudian sekali lagi memainkan peranan untuk gol kedua Sabah apabila hantaran lintangnya pada minit ke-64, tertanduk sendiri oleh pertahanan lawan, Demerson Bruno Costa, ke gawangnya.

Sarawak kemudian merapatkan jurang hasil jaringan Mateo Roskam pada minit ke-75, bagaimanapun, kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan.