Pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak mahu anak buahnya menunjukkan prestasi seperti 'yo-yo', sebaliknya menuntut agar mereka lebih konsisten serta mengekalkan permainan baik dalam setiap perlawanan.

Kemenangan ke atas UiTM FC di gelanggang lawan pada minggu lalu perlu diteruskan dalam aksi bertemu MISC-MIFA di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini, lebih-lebih lagi pasukan pelawat kini di tangga tercorot liga.

"Pasukan telah membuktikan mereka boleh bermain dengan sangat baik tetapi ada ketikanya mereka bermain di bawah tahap sebenar.

"Apa yang kita mahu adalah persembahan terbaik secara konsisten untuk kita memiliki pasukan yang boleh dikategorikan bagus.

"Sejak saya mengambil alih pasukan, memang ada perubahan positif tetapi nampaknya ada masalah mengekalkan momentum baik dan ini sebenarnya lebih kepada sikap pemain," katanya.

Bagi Jelius, Sabah masih belum selamat sepenuhnya daripada zon penyingkiran dan masih ada peluang untuk memperbaiki kedudukan sekiranya pemain bermain habis-habisan memburu kemenangan.

"Tambahan pula kami tewas 1-3 (di tangan MISC-MIFA) pada pusingan pertama dan setakat ini belum pernah menang dua kali berturut-turut. Perlawanan esok (malam ini) adalah peluang untuk menebus kekalahan itu, sekaligus mencatat kemenangan kedua berturut-turut ," katanya.

Jelius juga menambah, kekalahan kepada MISC-MIFA dalam perlawanan pusingan pertama lalu bukan bermaksud Sabah tidak mampu menyaingi pasukan berkenaan.

"Bagi saya, apa yang berlaku dalam pusingan pertama itu sudah menjadi sejarah dan sekadar boleh dijadikan panduan.

"Perlawanan malam ini adalah cerita baru dan kami mahu mendapatkan kemenangan. Apapun, akhirnya ia terpulang kepada pemain.

"Kalau mereka ada kesungguhan mahu menang, saya yakin kami sentiasa berpeluang untuk mendapatkannya," kata bekas pemain itu.