Pengendali Sabah, Jelius Ating, menasihatkan ketua pasukannya, Rawilson Batuil, supaya tidak mensia-siakan peluang kedua yang diberikan kepadanya selepas dipanggil semula untuk menyertai skuad kebangsaan.

Rawilson, atau lebih mesra dengan panggilan Jipun, adalah antara 24 pemain yang dipanggil ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bagi menyertai latihan pusat menjelang aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 5 Julai ini.

"Saya gembira Jipun dipanggil semua (menyertai skuad kebangsaan), ini peluang keduanya dan saya harap kali ini dia dapat membuktikan kemampuannya kepada Cheng Hoe.

"Dipanggil menyertai latihan pasukan negara bukanlah sesuatu yang mudah dicapai oleh mana-mana pemain dan ini membuktikan Jipun juga adalah pemain yang berkebolehan.

"Saya telah memberitahunya supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut tempat (dalam pasukan kebangsaan)," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Kali pertama Jipun menyertai pasukan kebangsaan ialah pada Mac lalu, namun sekadar memanaskan bangku simpanan ketika aksi persahabatan dengan Mongolia dan pemain pertahanan itu juga terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya selepas itu apabila terpaksa balik ke Sabah kerana bapanya jatuh sakit.

Selepas aksi menentang Fiji, Harimau Malaya dijadualkan mengharungi lima lagi aksi persahabatan kelas A bertemu Taiwan (7 September), Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Kyrgyzstan (16 Oktober) dan Maldives (3 November).

Kesemua perlawanan itu sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.