Jurulatih Sabah, Jelius Ating, mengakui kelemahan anak buahnya sendiri sebagai faktor utama kekalahan 3-0 pasukan Tambadau itu kepada Perak dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi.

"Kami kalah gara-gara kelemahan sendiri, bukanlah kerana kehebatan lawan sangat.

"Kami tidak bermain mengikut kemampuan sebenar dan melakukan kesilapan yang menyebabkan kami dihukum," katanya kepada pemberita.

Begitupun, jurulatih itu mengakui kelebihan tuan rumah selaku juara bertahan yang menguasai sebahagian besar perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Sabah yang baru muncul juara Liga Perdana musim ini, jelas tidak berupaya untuk menandingi juara tahun lalu itu walaupun cuba memberi tentangan.

"Kami sudah mencuba tetapi tidak berjaya. Kini kami kena pandang ke hadapan untuk perlawanan berikutnya, iaitu bertemu Pulau Pinang di laman lawan.

"Perak pasukan hebat dan memiliki pemain tempatan dan import berwibawa. Kami belajar banyak daripada perlawanan ini.

"Saya berharap kami mampu bangkit untuk meletak kembali pasukan di atas landasan betul,"tambahnya.