Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, tetap memandang serius pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Melaka United di Larkin esok walaupun skuad Harimau Selatan tampak sudah melangkah ke peringkat separuh akhir musim ini.

Selepas menang selesa 4-1 di Paya Rumput, tugasan JDT di laman sendiri, ditambah dengan pesta kejuaraan liga yang masih berterusan, mereka dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir.

"Kami berada dalam kedudukan selesa selepas menang aksi suku akhir pertama tetapi itu bukan jaminan kerana ada 90 minit lagi permainan dan saya tetap merencana strategi terbaik dan memperkemaskan barisan pemain," katanya.

Morais juga dilaporkan merancang tindakan berani untuk menurunkan beberapa pemain simpanan sambil merehatkan Safiq Rahim dan Fadhli Shas, termasuk barisan pemain import.

Penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, hampir pasti diketepikan kerana ditimpa kecederaan semasa pertemuan dengan Kelantan, pertengahan minggu ini.