Perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia semalam berlangsung sengit walaupun tuan rumah itu pada mulanya diramal mampu mendapatkan kemenangan selesa.

Sasaran utama skuad kendalian Benjamin Mora itu untuk merakam kemenangan ke atas Selangor tercapai, namun gagal mengelak daripada dibolosi merupakan satu tugas yang rumit menanti JDT di Shah Alam untuk perlawanan kedua, Sabtu ini.

Kapten JDT, Harris Harun, berpandangan JDT perlu meningkatkan lagi mutu persembahan untuk memastikan slot ke final Piala Malaysia.

"Keputusan ini penting untuk JDT dalam aksi pertama, namun kami perlu berusaha lebih keras ketika beraksi di tempat lawan," katanya.

Pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak, pula berkata, "JDT tidak boleh leka ketika beraksi di Shah Alam nanti untuk perlawanan timbal balik."

Skuad pelawat kendalian B. Sathianathan itu, yang turun tanpa penggempur utama, Endrick Dos Santos, semestinya harus diberikan pujian apabila berjaya meledak satu gol sebagai bekalan menghadapi aksi kedua nanti.

"Kami tewas tetapi meraih kelebihan satu jaringan (di tempat lawan). Selangor memiliki tempoh seminggu untuk berlatih dan menilai corak permainan JDT," kata pemain tengah Selangor, Sandro Da Silva.

"Ia boleh dianggap sebagai bonus meraih satu jaringan di Larkin sebelum menghadapi perlawanan di Shah Alam," kata pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari.

Sementara itu, kejayaan skuad Harimau Selatan itu menewaskan Selangor 2-1 semalam memberi nilai sentimental kepada penyokong pasukan itu.

Ia kerana perlawanan itu merupakan aksi terakhir juara Liga Super itu di Stadium Larkin apabila pasukan itu bakal menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang baru bermula musim depan.

Aidil menjelaskan, "Stadium Larkin memiliki banyak kenangan buat saya dan rakan sepasukan. Saya akan sentiasa mengingati setiap kejayaan yang diraih JDT di gelanggang ini."

Skuad kendalian Benjamin Mora itu telah menggunakan Stadium Larkin sebagai gelanggang rasmi selama tujuh tahun sejak transformasi pasukan dari selatan tanah air itu pada 2013.