Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, menghela nafas lega dengan kejayaan Harimau Selatan menundukkan pendahulu Liga Super, Pahang, 3-2 dalam pertembungan yang dianggap bagaikan buku bertemu ruas, malam tadi.

Kemenangan itu dicipta di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, yang turut menyaksikan JDT mempertahankan rekod bersih 38 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.

"Kami tidak boleh selalunya menang dengan corak menarik.

"Kami tidak boleh selalunya menang dengan mendominasi (permainan).

"Akan ada sekali, dua kali atau ada masanya kami berdepan kesukaran seperti malam ini (tadi).

"Tapi kami masih boleh menang," kata Mora.

Sementara itu, di kem Pahang, Dollah Salleh mendedahkan kegagalan anak buahnya mengikuti arahan yang diterapkannya menjadi punca kegagalan mereka mengatasi JDT.

"Kami banyak menunggu untuk melancarkan serangan balas, saya pun sebenarnya tidak mengarahkannya.

"Tapi benda itu berlaku dan kami banyak membuat kesilapan-kesilapan," katanya.