Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, memberi pujian kepada semua pemainnya di atas usaha keras sehingga menjulang trofi Liga Super untuk kali ketiga berturut- turut, malah lebih manis mereka meraikannya dengan kemenangan besar 5-1 ke atas T-Team, semalam.

Perlawanan terakhir liga berdepan Selangor nanti, turut diharap penyokong agar dapat diakhiri dengan kemenangan sekali lagi bagi melakar sejarah menjadi kelab pertama tidak pernah tewas dalam saingan Liga Super musim ini.

"Jika kami berjaya melakar kemenangan pada Rabu dalam aksi separuh akhir Piala AFC dan seterusnya dalam pertemuan separuh akhir kedua, barulah kami akan kembali fokus berdepan Selangor dalam aksi terakhir liga pada 22 Oktober nanti.

"Mungkin kejayaan (Liga Super) itu mampu menghadirkan kejuaraan Piala AFC nanti," jelasnya.

Tambah Gomez, hasrat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk terus mengekalkan posisinya sebagai jurulatih buat tempoh yang lama, disambut positif olehnya.

Kata Gomez, musim depan masih jauh untuk difikirkan dan apa yang penting, dia mahu menghabiskan baki musim ini dengan sebaik-baiknya terlebih dahulu.

"Hanya menang atau seri sahaja untuk perlawanan terakhir liga berdepan Selangor, tetapi esok (hari ini) kami perlu fokus untuk aksi pada Rabu."

Sejurus selepas tamat perlawanan Liga Super berdepan T-Team, JDT menjulang trofi ketiga mereka di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Selepas meraikan kejuaraan hatrik bersama ribuan peminat di stadium, mereka kemudiannya berarak ke Dataran Bandaraya Johor Bahru untuk berkongsi kejayaan bermakna bersama penyokong yang menanti ketibaan mereka di sana.

Gambar: JOHOR Southern Tigers