Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan slot separuh akhir Piala Malaysia menjadi milik mereka selepas menewaskan Terengganu 4-1 di Stadium Tan Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Dengan agregat 5-1, ia kemenangan cukup selesa buat JDT untuk meneruskan kemaraan ke peringkat sama seperti musim lalu.

Jaringan penalti menjadi pembukaan cemerlang tuan rumah menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-15.

Ia disusuli sepakan percuma Safawi Rasid enam minit kemudian sebelum penyerang kebangsaan itu sekali lagi membolosi gawang Terengganu dengan sepakan separa voli pada minit ke-35.

Cabrera menyempurnakan kemenangan Harimau Selatan pada minit ke-39 sebelum Lee Tuck mencetak jaringan sagu hati buat Skuad Peteh pada minit ke-45 dan kedudukan itu kekal sepanjang babak kedua.

"Kami sentiasa menjangkakan kemenangan. Kalau tidak, kami tidak boleh beraksi seperti malam ini (tadi).

"Musim lalu, Terengganu mengecewakan kami dan kami telah menebus dendam itu," kata jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Rakan sejawatannya, Nafuzi Zain, pula mempertikaikan tindakan pengadil, Zulkarnain Zakaria, apabila berkata: "Pengadil membunuh motivasi pemain.

"Saya menjangkakan malam ini (akan berlangsungnya) satu permainan menarik oleh kedua-dua pasukan dan saya tahu kualiti pemain-pemain yang saya ada."