JDT raikan kejuaraan dengan lima gol di Larkin

Public Anonymous User
September 24, 2016 07:51 MYT

Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan malam penyampaian trofi juara Liga Super dengan menghadirkan kemenangan bergaya di hadapan penyokong sendiri apabila membelasah T-Team 5-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang Argentina, Juan Martin Lucero, paling mencuri tumpuan apabila menyumbang hatrik menerusi jaringan pada minit ke-26, 34 dan 60.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi bekas pemain Selangor, Amirulhadi Zainal, sebelum hatrik Lucero dan gol sendiri oleh Abdoulaye Maiga melengkapkan kemenangan besar.
Gol tunggal T-Team disumbangkan oleh Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-43 perlawanan.
Sementara itu, Felda bangkit daripada ketinggalan dalam separuh masa pertama untuk kesudahannya memaksa keputusan seri 3-3 berdepan Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Felda mendahului pada minit ke-19 menerusi tandukan Gilberto Alemao sebelum Tommy Mawat menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian.
Sarawak kemudian berada di depan 3-1 menerusi Nur Shamie pada minit ke-39 dan Gilmar da Silva di hujung babak pertama.
Felda bangkit dalam babak kedua menerusi gol Zah Rahan Krangar pada minit ke-54 sebelum Lutfulla Turaev berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan bagi memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata.
Keputusan lain:
Pahang 1 Pulau Pinang 0
Selangor 0 Perak 1
Terengganu 0 Kedah 3