Kuala Lumpur City FC melakar kejutan apabila melakar kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bergelar juara Piala Malaysia edisi ke-100, sebentar tadi.



Gol yang dijaringkan Zhafri Yahya dan kapten pasukan, Paulo Josue, memastikan The City Boys menamatkan penantian apabila merangkul gelaran trofi Piala Malaysia buat kali pertama sejak 1989.

JDT dan KL City menampilkan aksi seimbang selepas terikat tanpa jaringan selepas tamat aksi babak pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengendali KL City, Bojan Hodak, membariskan kesebelasan terbaik dengan menurunkan dua pemain import sensasi, Josue dan Romel Morales.

Sementara pengendali JDT, Benjamin Mora pula membuat percaturan ampuh dengan trio serangan yang dibarisi Bergson Da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Safawi Rasid.

Mengenai kualiti serangan dimiliki JDT, KL City mengambil pendekatan bertahan menyerap asakan demi asakan yang bertali arus daripada JDT.

Seawal minit kesembilan peluang hadir buat JDT menerusi Bergson yang berjaya melepaskan rembatan namun hanya sekadar terkena tiang.

KL City mula mengorak serangan balas ke arah JDT namun ketenangan dimiliki skuad Harimau Selatan turut berjaya memastikan tiada jaringan berjaya dibolosi sehingga tamat separuh masa pertama.

Ketabahan KL City yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya terbalas apabila J. Partiban yang bijak mencari ruang melepaskan hantaran lintang yang berjaya disambar Zhafri pada minit ke-65 untuk gol pembukaan buat KL City.

Impian JDT untuk mempertahankan kejuaraan lebur apabila Farizal Marlias sekali lagi ditembus pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan Josue.

Di sebalik jaringan yang berjaya dihasilkan, aksi lima bintang daripada penjaga gol, Kevin Ray Mendoza harus diberikan pujian apabila deretan percubaan jentera serangan JDT berjaya dipatahkan sekaligus menamatkan perlawanan tanpa dibolosi.