Juara Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) mahu melunaskan 'hutang' ke atas Terengganu FC.

Pengendalinya, Benjamin Mora mengakui misi utama pasukannya dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu nanti adalah misi membalas dendam.

Kekalahan 1-0 kepada TFC pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim April lalu, ternyata masih berbekas buat skuad Harimau Selatan.

Apa tidaknya, ia merupakan satu-satunya kekalahan dialami JDT sepanjang 20 perlawanan diharungi, tatkala malang itu menimpa mereka di gelanggang sendiri.

"Apabila sudah mencapai sasaran bergelar juara, motivasi menjadi berbeza dan kami tetap ingin mendapatkan kemenangan dan bertemu Terengganu, kami sudah pasti berusaha untuk mendapatkan kemenangan ketika bertemu mereka," katanya.

JDT dijangka mempertaruhkan barisan terbaik berdepan TFC dengan penyerang utama, Bergson Da Silva, bakal diletakkan sebagai sandaran utama untuk misi merobek gawang lawan.

Ini juga untuk memastikan penggempur dari Brazil itu berpeluang meraih kasut emas Liga Super setelah mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 23 gol setakat ini.

"Bergson dalam misi untuk meraih Kasut Emas dan kami akan berusaha membantunya malah kami tidak berasakan dia akan berdepan situasi sukar untuk menghasilkan jaringan nanti."