JDT 6 KELANTAN UTD 0

Kelantan United umpama mujur gawang mereka tidak diratah dengan lebih teruk ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) merakamkan kemenangan 6-0, sebentar tadi.


"Syabas JDT, kami kena terima hakikat sebab kami lawan pasukan terbaik yang mempunyai pemain tempatan dan import hebat.

"Saya ingat kami akan dibelasah tapi hanya kena 0-6," kata jurulatih sementara Kelantan United, Nazrolerwan Makmor selepas wisel penamat.

Harimau Selatan menjadikan pendatang baru Liga Super itu sebagai mangsa seterusnya apabila mengekalkan kecemerlangan di Stadium Sultan Ibrahim musim ini dengan membuktikan kegarangan seawal minit ke-8 menerusi rembatan deras Bergson da Silva.




Namun, kelibat penjaga gol pelawat, Asyraaf Omar, memastikan JDT tidak terus kenduri gol apabila menutup separuh masa pertama dengan 2-0 selepas Fernando Foriestri menokok jaringan kedua.

Begitupun, JDT makin rakus merobek gawang dengan mengundang kesilapan pertahanan lawan.




Selain dua lagi gol padang, situasi kelam kabut yang dicetuskan di barisan serangan menghadirkan dua sepakan penalti yang dimuktamadkan Bergson termasuk Leandro Velaquez biarpun memasuki masa kecederaan.

"Rekod 43 gol yang dihasilkan adalah disebabkan keserasian kualiti pemain, sikap yang bagus selain kombinasi pemain.

"Kami bertahan baik jadi mampu mengatur permainan dengan lebih baik pada musim ini," kata ketua jurulatih JDT, Esteban Solari.