Jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai pasukan pilihan untuk cabaran Liga Super tatkala melabel Pahang, Kedah, Perak dan Melaka sebagai pencabar utama kepada gergasi selatan tanah air itu, musim ini.

Kim Swee menganggap JDT sebagai skuad sempurna berdasarkan kelebihan yang dimiliki daripada pelbagai aspek.

Meskipun berlaku perubahan terhadap barisan skuad Mario Gomez, Kim Swee langsung tidak berasakan ia menggugat kekuatan juara Liga Super dan Piala FA 2016 itu.

Rombakan oleh skuad Tok Gajah juga membayangkan skrip berbeza musim ini selepas dua pasukan handalan, Selangor dan Kelantan, dibelenggu isu luar padang.

"Apa yang saya dapat lihat, pasukan JDT mempunyai peluang yang amat cerah di mana mereka mempunyai ramai pemain dan melakukan beberapa pertukaran sahaja.

"Ia memberi kelebihan kepada JDT. Saya tidak dapat lihat pasukan lain yang dapat menyaingi JDT kecuali Pahang, Kedah, Melaka dan juga Perak," katanya.

Pasukan lain yang dianggap berpotensi merebut gelaran Liga Super adalah Kedah, namun Kim Swee berasakan juara Piala Malaysia 2016 itu perlu keluar daripada fokus kejuaraan Piala Malaysia.

"Saya percaya Kedah kali ini akan bertambah matang, terutama pemain-pemain muda mereka. Apa yang penting, Kedah harus keluar daripada kelompok yang hanya fokus kepada Piala Malaysia. Mereka perlu menjadi salah satu pasukan kegemaran," tambahnya.