Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan kemenangan dalam saingan Liga Super selepas mengatasi Pulau Pinang 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Selepas menjuarai Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut ke atas Kedah -- aksi pertama Liga Super -- JDT turun dalam perlawanan kedua saingan liga kali ini menerima kunjungan Pulau Pinang.

Permainan bertahan serta bersifat fizikal dalam separuh masa pertama menyekat peluang juara Liga Super itu menghasilkan jaringan.

Skrip yang sama dalam separuh masa kedua, hinggalah pada minit ke-81, JDT diberikan sepakan penalti yang disudahkan oleh Leandro Sebastian Velazquez.

Ketinggalan dalam saingan, Pulau Pinang mengubah rentak permainan dengan berusaha mencipta serangan bagi menembusi benteng JDT, namun gerakan serangan balas dilakukan JDT memastikan gol kedua yang disumbat Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-85 sekaligus memastikan tiga mata buat skuad kendalian Benjamin Mora.

Di Kuala Terengganu, Selangor gagal meneruskan rentak kemenangan apabila akur dengan kekalahan kepada Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Mizan, sebentar tadi.

Mengatasi Sri Pahang dalam perlawanan sebelum ini, Selangor bertandang ke Kuala Terengganu dengan hasrat untuk terus mencipta kemenangan.

Permainan yang dipamerkan mirip ketika bertemu skuad kendalia Thomas Dooley, namun Terengganu menghasilkan aksi yang lebih mantap ketika menyerap asakan Selangor.

Terengganu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 -- bermula gerakan sebelah kiri menerusi hantaran Makan Konate tepat mencari Jordan Mintah yang berjaya Khairul Azhan Khalid.

Terengganu menggandakan jaringan dalam separuh masa kedua, Rahmat Makasuf menggunakan peluang di sebalik kekalutan Gergasi Merah untuk mengeluarkan bola daripada zon bahaya bagi memastikan Terengganu selesa mendahului permainan.

Selangor berusaha untuk bangkit dan berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-74 apabila pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam menjaringkan gol sendiri.

Ketika Selangor terdesak mendapatkan jaringan, Terengganu menggunakan peluang tersebut dengan melancarkan serangan balas sebelum menoktahkan kemenangan dengan jaringan ketiga daripada Hakimi Abdullah.

Keputusan lain:

KEDAH 2 SABAH 0

Liga Perdana

MSN-FAM 1 KELANTAN 2

kredit: FB Johor Southern Tigers