JDT 3 SRI PAHANG 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut dengan penuh bergaya selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Berbaki dua perlawanan, skuad Harimau Selatan itu mengumpulkan 51 mata dan tidak mungkin lagi dapat dikejar pencabar terdekat, Terengganu FC, yang ketinggalan 14 mata biarpun berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Aksi kali ini menyaksikan penyerang utama, Bergson da Silva, mencipta hatrik dalam babak pertama untuk kini mengumpulkan 23 gol dalam saingan musim ini.

Skuad tempang Sri Pahang, yang turun tanpa kebanyakan pemain utama gara-gara kecederaan dan penggantungan perlawanan, dibolosi seawal minit kelapan apabila Bergson memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang pertahanan lawan untuk melakukan gelecekan solo sebelum menewaskan penjaga gol, Daniel Wafiuddin Sa'dun, dengan rembatapn kaki kirinya.

Empat minit menuju ke bilik persalinan, bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, melepaskan satu hantaran jauh gemilang yang membelah pertahanan untuk Bergson sekali lagi melakukan sentuhan terakhir ke jaring Tok Gajah.

Penggempur kelahiran Brazil itu kemudian memastikan bola dalam perlawanan bersejarah itu menjadi miliknya apabila melengkapkan hatrik pada minit terakhir separuh masa pertama, kali ini dengan menyudahkan lorongan Gonzalo Cabrera.

Sri Pahang mencuba untuk merapatkan jurang dalam babak kedua tetapi tidak dapat menembusi kekebalan bentang Farizal Marlias, antaranya menerusi sepakan percuma Manuel Hidalgo yang mudah diselamatkan penjaga gol kebangsaan itu.

Sebagai rekod, JDT tidak pernah terlepas daripada memenangi kejuaraan Liga Super sejak kali pertama menjuarainya pada 2014.




Keputusan Liga Perdana
PDRM 0 SARAWAK UNITED 3
KELANTAN FC 2 NEGERI SEMBILAN 1