UITM FC 2 JOHOR DARUL TA'ZIM II 2

UiTM FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-2 dalam saingan Liga Perdana, hari ini.


Berlangsung di laman sendiri, UiTM FC berpeluang menamatkan perlawanan dengan kutipan tiga mata selepas Sadam Hashim dan Akanni Sunday meletakkan mereka dua gol di depan pada minit ke-23 dan 48.

Bagaimanapun, kegagalan menyekat kebangkitan JDT II membawa padah apabila pasukan pelawat bangkit menerusi jaringan dua gol oleh Nicolas Fernandez pada minit ke-62 dan 85.

Sadam membuka tirai jaringan beberapa minit selepas dibawa masuk menggantikan kapten, Raslam Khan, yang mengalami kecederaan pada minit ke-19.

Selang beberapa minit selepas babak kedua bermula, Akanni meledak gol kedua perlawanan dengan melakukan penyudah baik menewaskan penjaga gol, K. Sasikumar.

Ia merupakan gol kelima penyerang Nigeria itu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Skuad pelawat kendalian Hamzani Omar kemudian berjaya merapatkan jurang menerusi Fernandez sebelum pemain berusia 30 tahun itu menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat perlawanan.

Memasuki minit terakhir, UiTM terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Syahrizan Shukor terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan dengan pengendali, Wan Mustaffa Wan Ismail, telah pun membuat tiga pertukaran sebelum itu.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan, dengan JDT II kini menghuni tangga kedua liga dengan 10 mata manakala UITM FC di kedudukan kesembilan dengan enam mata.