JDT 0 POHANG 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus dirudum kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 2-0 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Dalam pertembungan aksi Kumpulan H, skuad kendalian Benjamin Mora itu ibarat harimau terluka disiram cuka, kekalahan 4-1 Isnin kepada lawan sama gagal diperbaiki dalam perlawanan ulangan antara kedua-dua pasukan.

Peluang terbaik juara Liga Super itu terhasil menerusi sepakan percuma Safawi Rasid yang menggegar tiang Pohang pada minit ke-17.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan 16 minit kemudian, gerakan satu-dua yang dimulakan Goh Young-jun berjaya mencari Lee Seung-mo mudah meledak gol sulung perlawanan mnewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Empat minit berselang giliaran Kang Sang-woo pula mencetak nama selaku penjaring selepas JDT sekali lagi gagal membaca permainan licik Pohang sekaligus ketinggalan 2-0 menuju bilik persalinan.

Perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua dan JDT terus menyerap asakan pasukan lawan, Pohang melancarkan deretan percubaan demi percubaan untuk mendapatkan gol ketiga namun tidak berhasil.

Kemasukan pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Guilhermi de Paula untuk memperkuatkan jentera serangan ternyata tidak menjelmakan impak apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.