PKNS 0 JDT 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang satu mata apabila diikat 0-0 menentang PKNS FC dalam Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Walaupun pelawat banyak mengatur gerakan dalam separuh masa pertama, mereka buntu untuk mencari idea yang lebih baik apabila pemain PKNS begitu padat di kawasan sendiri.

Kedua-dua penjaga gol juga belum diuji sepenuhnya sehingga minit ke-17 kerana tiada percubaan tepat atau berbahaya dapat dilakukan.

Hantaran-hantaran kelihatan sedikit terbatas akibat padang yang tidak memuaskan selepas hujan sebelum perlawanan.

JDT mendapat sepakan percuma selepas Jafri Firdaus Chew mengasari pemain lawan pada hujung separuh masa pertama, namun tendangan Safawi Rasid jauh melewati palang gol.

Pelawat tampil lebih agresif dalam separuh masa kedua tetapi PKNS kekal utuh mengawal kubu dengan jarang-jarang melakukan serangan balas.

Pada minit ke-79, Ahmad Hazwan Bakri melakukan satu rembatan menarik dari luar kotak penalti tetapi ia sedikitpun tidak mencemaskan penjaga gol lawan, Mohd Shahril Saa'ri, kerana tersasar.

Enam minit kemudian, Gary Steven Robbat pula nyaris-nyaris menjaringkan gol dengan ledakan jarak jauhnya juga gagal menemui jaring.

Gary kemudiannya dikeluarkan untuk digantikan dengan Safiq Rahim bagi menyegarkan jentera serangan dalam usaha akhir memburu jaringan pada hujung perlawanan.

Bagaimanapun, kemasukan pemain tengah itu tidak mampu untuk mengubah kedudukan, dengan keputusan 0-0 kekal hingga tamat.

Keputusan lain:

Liga Perdana

UKM FC 2 Sarawak 1