Javier Pastore memilih Elche selepas menamatkan kontraknya bersama Roma secara persetujuan bersama.

Kelab LaLiga itu mengesahkan telah mengikat ejen bebas itu malam tadi, hari yang sama seteru mereka di Sepanyol, Rayo Vallecano, mengumumkan menyambar sentuhan Radamel Falcao.

Pastore menelan belanja €39.8 juta (RM196.11j) ketika dipancing Paris Saint-Germain (PSG) untuk meninggalkan Palermo pada 2011.

Pemain Argentina itu menikmati musim pertama yang cemerlang di Paris dengan menyumbangkan 16 gol selain enam bantuan jaringan selepas kelab Ligue 1 itu dibeli oleh pemilik Qatar.

Kecederaan bagaimanapun menggugat kedudukannya di PSG biarpun dia sekali lagi menikmati kempen hebat pada 2014-15 dengan melakukan 51 penampilan untuk 16 bantuan gol dan enam jaringan sebelum gagal beraksi lebih dari 2,000 minit dalam tiga musim berikutnya.




Pastore kemudian berpindah ke Roma pada 2018, namun sekadar diturunkan sebanyak 37 kali sepanjang tiga tahun sebelum menamatkan kontraknya dengan kelab Serie A itu.

Pemain berusia 32 tahun itu akan berusaha untuk menghidupkan semula kerjayanya yang malap di Sepanyol.

Selepas menamatkan perjanjian dengan Roma awal minggu ini, Pastore menyiarkan mesej perpisahan di akaun Instagram rasminya.

"Bukan mudah untuk saya meninggalkan kelab, bandar dan peminat ini. Saya sedar gagal memenuhi harapan yang mereka," tulisnya.

"Sesiapa yang mengenali saya, pasti tahu betapa saya menderita berdasarkan komitmen yang telah saya berikan.

"Kisah kami bukanlah kisah yang menguntungkan tetapi saya tetap memiliki rasa hormat dan berterima kasih terhadap bandar ini dan peminat-peminatnya yang menyambut saya dengan kasih dan semangat sejak tiga tahun lalu.

"Saya harap anda dapat meraikan kejayaan besar tidak lama lagi: Roma, Roma dan peminat mereka memang berhak menikmatinya."