ATALANTA 1 BORUSSIA DORTMUND 1

Gol pemain pertahanan, Marcel Schmelzer, ketika aksi berbaki tujuh minit membolehkan Borussia Dortmund mengikat Atalanta 1-1, sekali gus mengelakkan diri daripada terkandas dalam laluan untuk mara ke pusingan 16 Liga Europa di Stadium Citta Del Tricolore, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, Dortmund yang dikendalikan oleh Peter Stoger mempertaruhkan gandingan Andre Schurrle, Mario Gotze dan Christian Pulisic untuk membantu penyerang utama, Michy Batshuayi.

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan ketika aksi berusia 11 minit menerusi pemain pertahanan, Rafael Toloi.

Usaha penjaga gol Dortmund, Roman Burki, untuk menolak keluar bola sepakan sudut Alejandro Gomez dinafikan oleh Mattia Caldara yang menanduk bola untuk membolehkan Toloi mudah menolak masuk gol pertama.

Atalanta hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-26 apabila Gomez sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pelawat menerusi lambungan yang memerangkap benteng Dortmund, namun tandukan susulan Bryan Cristante tersasar walaupun hanya berdepan Burki.

Selepas kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama, separuh masa kedua menyaksikan pelawat lebih menguasai perlawanan dan Batshuayi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-73 tetapi rembatan leretnya tepat ke dakapan Etrit Berisha.

Tatkala perlawanan tampak bakal memihak tuan rumah menerusi peraturan gol di tempat lawan, Schmelzer muncul watak pemusnah dengan jaringan pada minit ke-83.

Permukaan padang yang basah membawa kepada kesilapan Berisha yang gagal menampan kemas bola hasil percubaan pemain gantian, Marco Reus, dari sebelah kiri pintu gol dan Schmelzer yang tidak dikawal pantas menyempurnakan bola muntah untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup, membolehkan Dortmund melepasi peringkat 32 terakhir dengan keputusan agregat 4-3.