Jaringan Salah ikat Wigan

Penulis Jemputan
Julai 14, 2017 23:49 MYT
WIGAN ATHLETIC 1 LIVERPOOL 1
Mohamed Salah meledak gol dalam kemunculan sulungnya bersama Liverpool, namun skuad kendalian Jurgen Klopp diikat 1-1 oleh Wigan Athletic dalam aksi persahabatan, malam tadi.
Gol Salah hadir pada penghujung babak pertama untuk memadamkan gol pendahuluan Alex Gilbey, dengan kedua-dua pasukan gagal mendapatkan gol kemenangan dalam aksi sukar pada baki permainan di Stadium DW.
Pemain Mesir itu menyudahkan peluang untuk menghukum kealpaan pertahanan Wigan untuk mencetak nama selaku penjaring.
Begitupun, Liverpool mensia-siakan deretan peluang, terutama Roberto Firmino selepas mendapat umpanan Salah dan Adam Lallana.
Dejan Lovren hampir menggandakan kedudukan buat The Reds, namun tandukannya sedikit tinggi melepasi palang menjelang pertemuan dengan Crystal Palace untuk merebut Trofi Liga Perdana Asia, Rabu depan.
Klopp menamakan barisan terkuatnya, termasuk Philippe Coutinho dan Lallana, yang membuat penampilan pertamanya untuk persiapan musim baru selepas diketepikan dalam kemenangan 4-0 ke atas Tranmere Rovers, kelmarin.
Salah, yang bernilai GBP42 juta (RM235.4j) hampir memecah kebuntuan pada minit pertama, namun rembatannya melepasi pintu gol sebelum usaha Lallana pula tersasar.
Liverpool terus menguasai permainan tetapi dikejutkan oleh gol pendahuluan tuan rumah selepas 20 minit permainan berlangsung, tempias tendangan Gilbey mengenai badan pemain lawan sebelum bola menerjah ke gawang gol.
Dua percubaan Coutinho dari luar kotak penalti menguji Wigan dan Liverpool terlepas peluang keemasan di mana Firmino gagal menyudahkan peluang tatkala pintu gol sudah terbuka buatnya selepas kombinasi antara Salah dan Lallana membantunya untuk lolos.
Gol penyamaan Liverpool hadir sebelum separuh masa pertama berakhir, bermula dengan gerakan daripada Coutinho sebelum umpanan Firmino ditolak masuk oleh Salah.
Hujan lebat pada babak kedua menyukarkan pergerakan kedua-dua pasukan dengan Klopp membuat 11 pertukaran selepas itu.