REAL MADRID 2 CLUB BRUGGE 2

Zinedine Zidane menyifatkan jaringan pembukaan Club Brugge sebagai amat memalukan buat Real Madrid, yang memaparkan aksi buruk sepanjang babak pertama, untuk terikat 2-2 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.


Madrid ketinggalan dua gol sebelum waktu rehat di Santiago Bernabeu gara-gara jaringan berganda Emmanuel Bonaventure Dennis.

Dennis gagal mengawal bola daripada hantaran lintang Percy Tau, namun ia masih melintasi penjaga gol, Thibaut Courtois, yang tersilap langkah, sambil video bantuan pengadil (VAR) turut digunakan bagi memastikan tiada pemain yang berada di kedudukan ofsaid.

Pemain berusia 21 tahun berkenaan menggandakan jaringan pada minit ke-39 dengan penyudah kemasnya yang menewaskan Courtois, yang kemudiannya digantikan dengan Nacho Fernandez selepas waktu rehat.

Sergio Ramos merapatkan jurang pada 10 minit pertama babak kedua sebelum Casemiro mengikat kedudukan pada lima minit terakhir, namun Zidane bingung dengan aksi pasukannya dalam babak pertama itu.

"Ia keputusan yang buruk tetapi reaksinya amat bagus," katanya kepada Movistar.

"Kami tidak boleh berasa gembira, jaringan pertama itu amat memalukan.

"Namun, saya mahu kekal positif, pemain kami telah mengubah perlawanan dengan sikap mereka dalam babak kedua.

"Pada akhirnya, saya bukanlah gembira untuk menambah satu mata, ada ruang untuk mendapat tiga mata, namun saya gembira dengan reaksi yang ditunjukkan.

"Ia bukan disebabkan kami memulakan perlawanan dengan buruk tetapi kami tidak menumpukan di bahagian yang pihak lawan boleh membahayakan kami.

"Saya mahu fokus kepada 45 minit terakhir. Kami tidak boleh berasa kgembira tetapi anda perlu berfikir dengan positif," katanya.

Courtois menjadi mangsa ejekan ketika pemain Madrid meninggalkan padang pada waktu rehat.

Bagaimanapun, Zidane cuba mengurangkan bebanan itu dari bahu Courtois sambil mengesahkan penjaga gol Belgium berkenaan dikeluarkan atas faktor kesihatan.

"Courtois tidak sihat dan tidak dapat meneruskan permainan.

"Saya tidak gusar dengan prestasinya atau perkara-perkara lain.

"Apa yang menarik perhatian saya ialah permainan yang baik, seperti yang kami lakukan dalam babak kedua.

"Kita mungkin boleh menyalahkan Thibaut tetapi kami semua terlibat, lebih-lebih lagi saya," tambahnya.

Keputusan seri 2-2 dengan Brugge hanya berselang dua minggu selepas Madrid tewas 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Ia merupakan permulaan terburuk mereka sepanjang kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Pendahulu LaLiga itu kini berada di dasar kumpulan menjelang kunjungan ke Galatasaray, 22 Oktober ini.

"Jurang kesilapan dalam Liga Juara-Juara amat minimum, kita akan melihatnya nanti," kata Zidane ketika di tanya mengenai peluang pasukannya untuk menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas.

"Kami ada perlawanan liga Sabtu ini dan akan melihat perlawanan seterusnya dalam Liga Juara-Juara.

"Kami sedang berada dalam situasi yang sedikit buruk, ia masih belum berubah tetapi kami tetap akan meneruskannya."