CHELSEA 1 NORWICH CITY 1
(Chelsea menang 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti)

Chelsea terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Piala FA menerusi kemenangan 5-3 selepas terikat 1-1 dalam aksi ulangan pusingan ketiga di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Selepas terikat 0-0 dalam aksi sebelum ini, The Blues hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan Danny Drinkwater yang sipi di sebelah kanan gawang pelawat sebelum Cesar Azpilicueta turut terlepas peluang untuk meletakkan Chelsea di depan dua minit kemudian apabila gagal menyambut bola tandukan Tiemoue Bakayoko hasil sepakan sudut Kenedy dari sebelah kanan.

Drinkwater sekali lagi kempunan untuk menyumbat gol buat anak-anak buah Antonio Conte apabila percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-25 terkena palang gol.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya hadir buat tuan rumah selepas 10 minit menyambung aksi babak kedua apabila hantaran leret Kenedy dari sebelah kiri mudah disempurnakan oleh penyerang dari Belgium, Mitchy Batshuayi.

Kemasukan Alvaro Morata, Andreas Christensen serta N'Golo Kante ketika perlawanan berbaki sembilan minit tampak tidak memberikan kesan positif buat Chelsea, sebaliknya pelawat meraih gol penyamaan ketika perlawanan hanya berbaki 50 saat menerusi tandukan Jamal Lewis untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Chelsea berdepan ujian getir apabila Pedro dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-117, sebelum Morata turut diperintahkan keluar padang tiga minit kemudian selepas membantah keputusan pengadil yang menyifatkannya sengaja menjatuhkan badan untuk meraih sepakan penalti.

Conte seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol, Willy Caballero, ketika penentuan penalti selepas aksi tangkasnya menafikan sepakan Nelson Oliveira untuk membolehkan Chelsea menang dengan keputusan 5-3 setelah Willian, David Luiz, Azpilicueta, Kante serta Eden Hazard menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.