BELGIUM 3 JEPUN 2

Gol kemenangan pda minit ke-94 daripada Nacer Chadli menyempurnakan kebangkitan sensasi yang menyaksikan Belgium mengalahkan Jepun 3-2 untuk menempah slot suku akhir Piala Dunia 2018 menentang Brazil.


Selepas separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, Jepun menyumbat dua gol dalam tempoh tujuh minit selepas permainan bersambung untuk menguasai aksi pusingan 16 di Rostov-on-Don, awal pagi tadi.

Genki Haraguchi dan Takashi Inui menjaringkan gol untuk Jepun yang berada di landasan tepat untuk menempah slot suku akhir Piala Dunia yang pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Sebaliknya, Belgium menjadi pasukan pertama yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak 1970 dan bakal menghadapi juara lima kali, Brazil.

Tandukan Jan Vertonghen entah bagaimana menewaskan penjaga gawang, Eiji Kawashima, dan hantaran tinggi Belgium mula memberi kesan apabila Marouane Fellaini melonjak cemerlang untuk menyambut hantaran silang Eden Hazard.

Keisuke Honda hampir menewaskan Thibaut Courtois dengan sepakan percuama dalam masa kecederaan tetapi serangan balas klinikal Belgium, yang menyaksikan Thomas Meunier mengumpan kepada Chadli, disudahkan dengan mudah oleh pemain itu untuk meremukkan hati pemain dan penyokong Jepun.

Belgium tidak melancarkan sebarang percubaan sehingga minit ke-17 apabila percubaan Axel Witsel dan Vincent Kompany dihalang sementara Inui meluru ke arah Courtois ketika Jepun - yang kembali menggunakan kesebelasan utama seperti dua perlawanan pertama -- mula menghadirkan ancaman.

Kesilapan Courtois nyaris menyerahkan Jepun gol pendahuluan sebelum separuh masa pertama berakhir, dengan penjaga gol itu melepaskan tendangan lemah ke arah Yuya Osako, namun sempat menyelamatkannya.

Jepun tidak pernah menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati Piala Dunia tetapi mereka mengakhiri badi itu pada minit ke-48 menerusi Haraguchi.

Belgium kehilangan bola di kawasan penalti Jepun, lalu anak buah Roberto Martinez itu menjadi mangsa serangan balas. Gaku Shibasaki melorongkan bola untuk Haraguchi menggegarkan gawang Courtois.

Percubaan Hazard pula terkena palang setelah menerima lorongan Dries Mertens dalam usaha Beligum menyamakan kedudukan seberapa segera.

Bagaimanapun, Jepun memerlukan tempoh hanya empat minit untuk mendahului 2-0, bahkan gol yang disempurnakan Inui itu lebih baik berbanding jaringan pembukaan Haraguchi.

Shinji Kagawa menjadi arkitek kepada jaringan itu apabila mencipta ruang buat Inui ketika Belgium cuba mengeluarkan bola dari kawasan mereka. Pemain tengah itu bertindak bersendirian sebelum melancarkan rembatan deras dari jarak 25 ela.

Peluang Belgium tampak samar sebaik Romelu Lukaku menanduk liar hantaran lintang Meunier tatkala pintu gol sudah terbuka luas.

Bagaimanapun, mereka mendapat talian hayat apabila Vertonghen berjaya merobek gawang yang dikawal Kawashima selepas Jepun bergelut dalam mendepani tendangan sudut -- dan lima minit kemudian, mereka kembali menyamakan kedudukan.

Hazard licik mencipta ruang di sayap kiri, disusuli hantaran lintangnya sempurna untuk pemain gantian, Fellaini, membenamkan tandukannya untuk menewaskan Kawashima.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan. Kawashima membuat aksi menyelamat luar biasa untuk menguis tandukan Lukaku manakala Courtois tangkas menafikan sepakan percuma Keisuke Honda dalam masa kecederaan.

Jepun menghidu peluang untuk meraih jaringan kemenangan lewat, namun Courtois cekap menyekat sepakan penjuru mereka dan beberapa saat kemudian, bola sudah berada di dalam pintu gol pihak lawan.

Courtois menemui Kevin De Bruyne melalui satu hantaran jauh dan pemain Manchester City berkenaan membebaskan Meunier dengan hantaran yang hebat, yang menyukarkan Jepun gagal untuk menyekatnya.

Meunier tenang untuk melepaskan tendangan rendah sebelum Lukaku memberi laluan kepada Chadli untuk menyermpunakan gerakan tersebut dan menghantar Belgium ke suku akhir untuk bertemu Brazil.