JERMAN 2 SWEDEN 1

Jerman kembali menghidupkan harapan untuk kekal berada dalam Piala Dunia apabila Toni Kroos menjaringkan gol kemenangan bagi memastikan kejayaan dramatik 2-1 ke atas Sweden dalam perlawanan kedua Kumpulan F di Stadium Fisht, awal pagi tadi.


Kroos menyudahkan gol itu menerusi sepakan percuma pada minit ke-95 untuk membantu juara dunia bimbingan Joachim Low itu, yang beraksi dengan 10 pemain selepas Jerome Boateng dibuang padang ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Ia menjadi kebangkitan dramatik dalam perlawanan wajib menang buat Jerman selepas skuad Die Mannschaft itu tumpas 1-0 di tangan Mexico dalam aksi pembukaan Kumpulan F mereka dan senario itu seperti hampir terjadi lagi apabila lambungan hebat Ola Toivonen meletakkan Sweden di depan sehingga separuh masa.

Bagaimanapun, perbincangan skuad Low itu pada waktu rehat ternyata membuahkan hasil buat juara dunia berkenaan, yang menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi usaha keras Marco Reus.

Penyingkiran Boateng nyata menyukarkan usaha untuk keluar daripada ancaman bahaya penyingkiran dan mereka kelihatan seolah-olah bakal menamatkan perlawanan dengan meraih satu mata, yang membuatkan harapan bagi melepaskan diri daripada kumpulan tergantung kian jelas.

Tetapi, ketika tempoh perlawanan hampir tamat, sepakan menarik daripada Kroos mencetuskan perayaan buat Jerman, sekali gus mengecewakan Sweden.

Keputusan itu membuatkan saingan Kumpulan F kembali terbuka tanpa mana-mana pasukan dapat mengesahkan kelayakan ke pusingan 16 selepas dua perlawanan.

Mexico kini mendahului dengan enam mata manakala Jerman dan Sweden masing-masing mengumpul tiga mata, dengan Korea Selatan masih gagal mengutip sebarang mata.