REAL MADRID 3 LEGANES 0

Sergio Ramos menjaringkan gol yang ke-100 sepanjang kariernya ketika membantu Real Madrid menewaskan Leganes 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16, Copa del Rey di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Madrid sebelum ini tewas 0-2 kepada Real Sociedad dalam LaLiga hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, mereka memaparkan aksi meyakinkan sewaktu menewaskan Leganes, terutama dalam babak kedua.

Kapten pasukan, Ramos, meletakkan tuan rumah di depan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi sepakan penalti selepas Alvaro Odriozola dikasari Gerard Gumbau.

Memanfaatkan aksi longlai Leganes dalam babak kedua, Lucas Vazquez tidak mempersia-siakan kesilapan pertahanan lawan sebelum Vinicius Junior melengkapkan keputusan perlawanan tidak lama selepas itu.

Madrid sepatutnya memperoleh jaringan lebih awal, namun Karem Benzema sekadar menanduk lemah hantaran lintang Odriozola.

Los Blancos, bagaimanapun, di depan pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti yang tenang disudahkan Ramos.

Vazquez kemudian menggandakan jaringan itu pada minit ke-68 selepas tekanan yang diberikan Benzema menyebabkan Unai Bustinza tersilap langkah ketika melakukan hantaran dan dimanfaatkan Vinicius untuk mengumpan bola yang disudahkan Vazquez.

Vinicius memutlakkan kemenangan Madrid ketika berbaki 13 minit terakhir dengan menyudahkan hantaran lintang Odriozola

Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Municipal de Butarque, Leganes, Khamis depan.