Pemain gantian, Kelechi Iheanacho, muncul wira selepas sepakan penaltinya memberikan kemenangan 1-0 buat Leicester City ke atas Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti awal pagi tadi.

Bekas penyerang City, yang meninggalkan Stadium Etihad empat tahun lalu, memisahkan aksi pembukaan saingan musim baru yang kelihatan agak hambar di Wembley.

Iheanacho hadir daripada bangku simpanan pada minit ke-79 dan dijatuhkan Nathan Ake pada penghujung permainan.

Pemain kebangsaan Nigeria itu, yang meledak 19 gol buat The Foxes musim lalu, tenang melepaskan rembatan mengatasi penjaga gol, Zack Steffen, sekaligus memberikan pemenangan Piala FA musim lalu itu kejayaan pertama bagi musim ini.