LEICESTER CITY 5 NEWCASTLE UNITED 0

Jamie Vardy menjaringkan gol berganda, yang menyaksikan bekas penyerang kebangsaan England itu mengumpulkan lima jaringan sepanjang musim ini, ketika membantu Leicester City membelasah Newcastle United 5-0 di Stadium King Power, lewat malam tadi.


Beraksi di atas padang yang dibanjiri hujan, The Magpies ketinggalan seawal 16 minit pertama apabila Ricardo Pereira dibenarkan untuk melakukan gelecekan dalam kawasan penalti lawan sebelum melepaskan sepakan leret kaki kiri ke penjuru bawah gawang Martin Dubravka.

Harapan Newcastle untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa kekecewaan yang lebih besar tidak kesampaian gara-gara terjahan keras Isaac Hayden ke atas Dennis Praet yang mengundang kad merah.

Beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Leicester mengeksploitasi bahagian kiri pada sembilan minit pertama babak kedua untuk Harvey Barnes melakukan hantaran rendah buat Vardy yang menewaskan Dubravka di 'near post'.

Cabaran Newcastle semakin mustahil selepas hantaran lintang Praet terbias ke kaki Paul Dummet, yang secara tidak sengaja membolosi gawang skuad kendalian Steve Bruce itu buat kali ketiga.

Vardy kemudian menjadi punca pasukan pelawat itu tidak lagi boleh bersaing apabila menanduk masuk hantaran Marc Albrighton.

Wilfred Didi menambah duka itu dalam waktu kecederaan dengan mengawal baik hantaran Ben Chiwell sebelum melepaskan rembatan yang melepasi jangkauan Dubravka untuk melengkapkan kemenangan terbesar Leicester sepanjang sejarah Liga Perdana, yang juga kemenangan keempatnya daripada tujuh perlawanan musim ini.