NORWICH CITY 0 ARSENAL 5

Bukayo Saka menjaringkan gol berganda ketika Arsenal membelasah Norwich City 5-0 di Carrow Road lewat malam tadi, sekali gus memastikan kemenangan keempat berturut-turut pasukannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gol pembukaan yag dihasilkan Saka kemudian dituruti oleh jaringan Kieran Tierney sebagai membuktikan dominasi penuh Arsenal sejak wisel permulaan.

Arsenal kemudian memastikan kemenangan mereka dalam babak kedua, di mana Saka memperoleh jaringan keduanya dalam perlawanan itu, sebelum Alexandre Lacazette menjaringkan sepakan penalti pada lewat permainan dan pemain gantian, Emile Smith Rowe, turut menemui sasaran dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Arsenal kekal selesa di tangga keempat dan ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Chelsea.

Arsenal menemui jaringan pembukaan seawal minit keenam selepas Martin Odegaard melorongkan bola ke sebelah kanan buat Saka sebelum permain berusia 20 tahun itu melepaskan rembatan rendah ke penjuru kiri gawang lawan.

The Gunners kemudian menggandakan kelebihan mereka tidak lama selepas babak kedua bersambung, di mana Odegaard melakukan bantuan jaringan kedua yang disempurnakan pertahanan kiri, Tierney, ke arah kanan gol lawan.

Saka sekali lagi berada dalam senarai penjaring pada minit ke-67 apabila mudah mengatasi Brandon Williams dan melepaskan penyudah rendahnya bagi menewaskan Angus Gunn, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0.

Lacazette kemudian menjadikan kedudukan 4-0 dengan menyempurnakan sepakan penati pada minit ke-84 sebelum Smith Rowe melengkapkan keputusan perlawanan itu dalam waktu kecederaan.