Adnan Januzaj mengakui masa depannya bersama Manchester United semakin samar selepas mengharungi saat yang sukar kerana menempuhi tempoh pinjaman yang merumitkan di Sunderland.

Musim ini, Januzaj dipinjamkan ke Sunderland untuk bekerjasama dengan David Moyes, namun dia bergelut mencari rentak permainan terbaik serta gagal meledak sebarang gol dalam 19 penampilan, mengalami masalah yang sama ketika dipinjamkan ke Borussia Dortmund, musim lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu menegaskan permainannya akan menjadi lebih matang selepas pengalaman bersaing untuk mengelak daripada zon penyingkiran, namun tidak dapat memberikan kepastian mengenai masa depannya.

"Sukar untuk menerimanya kerana saya berhijrah dari Manchester United ke Sunderland," kata Januzaj. "Saya menyedari ia adalah yang terbaik kerana saya sudah berusia 22 tahun.

"Orang lain menganggap saya berusia 26 atau 27 – tetapi saya hanya berusia 22 tahun. Saya menyedari saya perlu meningkatkan mutu permainan.

"Banyak pengalaman yang saya raih ketika beraksi di Sunderland. Saya dapat berasakan lebih cergas dan lebih gembira."