Ketika bersiap untuk bertemu Korea Selatan di Rostov-on-Don, malam ini, jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio, dan kaptennya, Andres Guardado, menegaskan bahawa pasukannya tidak akan bersenang-lenang selepas mengejutkan juara bertahan, Jerman, 1-0 dalam aksi pembukaan kempen Piala Dunia.

Gol Hirving Lozano pada minit ke-35 dalam aksi Kumpulan F di Moscow, Ahad lalu, membuatkan juara 2014 itu tersentak, dan tanpa disangka-sangka ia mendorong perhatian ramai tehadap skuad El Tri itu.

Korea Selatan, yang kalah 1-0 dalam perlawanan sulung berdepan Sweden, meletakkan jurulatihnya, Shin Tae-yong, terdesak bagi mendapatkan keputusan positif bagi memulihkan harapan mereka untuk mara.

Osorio, bagaimanapun, menyedari risiko yang dihadapi pemainnya kerana mereka dianggap sebagai pasukan kegemaran di Rostov Arena.

"Minggu ini kami pastikan bahawa kami semua memahami tanggungjawab dan ia adalah untuk mengekalkan harapan tinggi semua orang terhadap Mexico sekarang. Ia satu cabaran besar dan kami bersedia untuk itu," katanya dalam sidang media.

Guardado mempunyai pandangan sama dengan berkata: "Benar, kemenangan kami menentang Jerman membuatkan tanggungjawab kami lebih besar. Kami perlu terus bermain dan kami juga perlu mempunyai mentaliti yang sama.

"Kami mempunyai tiga mata yang sangat berharga tetapi itu tidak bermakna kami sudah melangkah ke pusingan 16. Kami tidak boleh berehat. Kami tidak boleh fikir kemenangan ke atas Jerman lebih tinggi nilainya.

"Saya berharap kami tidak akan bersenang-lenang dengan kejayaan kami dan esok (malam ini) akan menjadi satu lagi perlawanan hebat bagi kami dan sangat kompetitif.

"Diharapkan kami dapat bermain dengan menarik dan mendapat banyak peminat di seluruh dunia. Kami cuba mewakili bola sepak Amerika Latin dan menarik peminat kepada pasukan kami."