Jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, tidak mahu kelebihan di atas kertas menjadi punca anak buahnya terlalu yakin mampu mengatasi Kuantan FA, esok.

Rekod satu kalah dan satu menang selepas dua perlawanan terdahulu mahu diteruskan dengan pencarian tiga mata penuh di Kuantan.

Fauzi mengakui di atas kertas, anak buahnya mempunyai kelebihan untuk memastikan kemenangan di Stadium Darulmakmur.

Namun, Fauzi tidak mahu situasi itu menguasai mental anak buahnya kerana bimbang ia akan mengganggu fokus pemain dengan menganggap Kuantan FA sebagai lawan mudah.

"Kita bukan nak bercakap tentang apa yang tertulis di atas kertas, sebaliknya apa yang berlaku di atas padang.

"Saya harap pemain lebih fokus dan dapat merealisasikan harapan untuk membawa pulang tiga mata," katanya.

Walaupun tanpa kelibat beberapa pemain utama, antaranya kapten Safuwan Baharuddin, Syakir Ali dan Afiq Kamaruddin ekoran masalah kecederaan, namun ia tidak mengubah matlamat Fauzi dalam melakar kemenangan.

"Kami ketiadaan beberapa pemain. jadi diharapkan pemain lain mampu memberi satu impak kepada pasukan," tambahnya.