Muka baru Kuala Lumpur City, J Partiban, mencabar pemain muda agar jangan gentar untuk menimba pengalaman di luar.

Menurutnya, banyak kualiti yang mampu diperoleh seseorang pemain yang berani berhijrah berbanding mereka yang selesa bersama pasukan sama.

Partiban memulakan karier selaku pemain profesional pada 2014 di Perak sebelum namanya mula meniti di bibir peminat ketika tampil cemerlang bersama Terengganu.

"Saya dapat banyak peluang bermain di Terengganu ketika dibimbing Irfan Bakti (Abu Salim).

"Selepas telah berusaha (tetapi belum menjadi), pemain muda dan tidak cukup minit permainan seharusnya sahut cabaran di luar untuk tunjukkan mereka boleh beraksi," katanya.





Partiban meninggalkan The Bos Gaurus dalam jendela kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 berikutan masalah kewangan, namun dia sedia bersaing sengit dengan tonggak sedia ada seperti Hadin Azman demi membuktikan kebolehannya bersama skuad Warga Kota.

"Ada tiga orang untuk merebut posisi yang sama jadi masing-masing akan berjuang. Dengan ini pasukan mampu pergi lebih jauh, ini sesuatu yang perlu dilihat dengan positif.

"Kalau kami penuhi kehendak jurulatih, beri persembahan terbaik dalam latihan pasti akan terpilih.

"Kalau semua pemain dalam prestasi terbaik ketika berlatih, selebihnya terpulang kepada percaturan jurulatih," katanya.