Kepada peminat bola sepak yang mula mengikuti perkembangan sukan ini sejak awal tahun 2000, nama Wayne Rooney pastinya tidak asing sama sekali.

Memulakan kerjaya bersama Everton, "Wazza" mengumumkan ketibaannya ke kancah profesional dengan menjaringkan satu gol menakjubkan ketika menentang Arsenal, juara bertahan Liga Perdana Inggeris pada musim 2001/2002.

Dia menjadi pemain paling muda mewakili England apabila dipanggil untuk beraksi menentang Australia pada 2003 dan seterusnya dibeli oleh Manchester United pada 2004.

Sepanjang 13 tahun bersama United, Rooney membuat sebanyak 559 penampilan dan mencatatkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu dengan jumlah 253 gol kesemuanya.

Nama Rooney mula disebut-sebut kembali sejak minggu lalu di ambang penerbitan dokumentari tentang sejarah hidup dan kerjayanya yang bakal disiarkan melalui saluran Amazon Prime Video esok.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen BBC Sports, Rooney bercerita tentang beberapa kisah menarik di sebalik tabir dan mendedahkan kesilapan-kesilapan yang cukup dikesalinya sepanjang satu kerjaya yang sarat dengan suka-duka.

Ditanya tentang gol sewaktu menentang Arsenal yang mula melonjakkan namanya, Rooney mendedahkan: "Perlawanan itu berlangsung lima hari sebelum hari jadi saya yang ke-17. Saya bertekad, tidak kira apa pun, saya mahu menjaringkan gol sewaktu saya masih berusia 16 tahun secara rasminya.






"Sewaktu saya dimasukkan ke padang sebagai pemain gantian, saya berkata kepada diri saya sendiri, saya akan melakukan percubaan tidak kira dari sudut mana sekalipun."

Pada hujung perlawanan itu, rekod tanpa kalah Arsenal selama 30 perlawanan lebur di tangan Rooney dan pengulas yang bertugas, Clive Tyldesley, mengungkapkan: "Jangan dilupakan nama ini, Wayne Rooney."

Pada 2004, Rooney memainkan peranan penting untuk skuad England dalam Euro 2004 dengan menjaringkan empat gol. Malangnya, dia mengalami kecederaan teruk sewaktu menentang Portugal di peringkat suku akhir dan England turut tersingkir.

"Sewaktu menentang Perancis dalam perlawanan pembukaan, saya masih ingat pemain pertahanan mereka cukup takut untuk berhadapan dengan saya kerana mereka tahu saya lebih daripada mampu untuk menangani mereka dari aspek fizikal.

"Saya sengaja berlaga dengan Lilian Thuram, menghentak dagunya dan menjatuhkannya ke tanah. Barulah dia tahu siapa saya."







Keangkuhan, sikap ganas dan panas baran Rooney ini ternyata terbawa-bawa buat tempoh yang panjang dalam kerjanya, sehinggakan dia mengakui dia berniat untuk mencederakan pemain lain pada 2006.

"Pada 2006, kami menentang Chelsea di Stamford Bridge. Saya sedar dari awal lagi yang mereka merupakan pasukan yang lebih kuat dan kami tidak berpeluang untuk menang.

"Disebabkan itu, saya sengaja memakai kasut but yang bertungku besi tajam dan panjang. Saya mahu mencederakan pemain-pemain mereka.

"Pada hujung perlawanan itu, saya menyebabkan kaki kapten mereka, John Terry berlubang. Beberapa minggu kemudian, saya mengirim mesej kepada Terry untuk meminta dia pulangkan semula tetungku besi saya yang masih melekat di kakinya," ujar Rooney sambil ketawa.

Menurut laporan akhbar The Guardian, Persatuan Bolasepak England telah bertindak untuk menyiasat pendedahan Rooney ini dan tindakan susulan mungkin bakal diambil.

Rooney turut mendedahkan yang dia tidak gentar untuk bersemuka dengan pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson, dalam satu kejadian pada 2010.





"Ketika itu, kami telah menjual Carlos Tevez ke Manchester City dan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Saya merupakan satu-satunya penyerang dengan nama besar yang masih kekal.

"Saya masuk ke pejabat Ferguson dan bertanya dengan lantang, 'Apa perancangan kita sekarang? Kita cuma membeli dua pemain muda Inggeris yang belum terbukti keupayaan mereka? Itu sahajakah?'"

"Saya masih ingat jawapan Ferguson adalah 'Berambus kamu dari pejabat saya sekarang!'"

Paling menarik, Rooney mendakwa bahawa Ferguson memilih untuk meninggalkan kelab kerana beliau sudah dapat melihat United sedang menuju ke ambang kejatuhan dan memilih untuk bersara secepat mungkin.

"Sejak dari perbalahan saya dengan Ferguson itu, saya tahu yang Ferguson sedar bahawa masa depan Manchester United untuk tempoh beberapa tahun akan datang tidaklah cerah. Disebabkan itulah dia mahu keluar pada kadar segera.

"Sekarang ini, United masih lagi memulihkan diri akibat peninggalan Ferguson."

Pendedahan terakhir Rooney itu pastinya ditidakkan oleh ramai pihak, mungkin oleh Ferguson sendiri, namun kata-katanya tentang United masih lagi berada dalam proses pemulihan ternyata benar sebenarnya.