Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, menyifatkan sikap acuh tak acuh persatuan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebagai penderaan mental kepada pemain dan jurulatih menjelang tempoh akhir esok.

Arahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan penyelesaian tunggakan gaji tampak dipandang remeh sesetengah pasukan.

PDRM tampak gagal menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan masalah berkenaan walaupun diberi pilihan oleh FAM untuk berbuat demikian.

Sama ada menerusi pembayaran penuh atau persetujuan bersama, tiada perbincangan serius dibuat persatuan itu bersama pemain dan jurulatih ketika ini.

Hal ini mendapat perhatian PJBM yang mewakili bekas jurulatih The Cops, E. Elavarasan dan Wan Mustafa Wan Ismail.

"Saya berasakan pasukan yang terlibat tidak boleh mengambil mudah hal ini. Kami daripada PJBM akan berusaha untuk memastikan jurulatih yang terlibat tidak teraniaya," kata Richard.

"Kami beranggapan arahan yang telah dikeluarkan oleh FAM perlu diakur serta berharap segalanya dapat diselesaikan," kata Mustafa pula.

Difahamkan, PDRM mempunyai tunggakan gaji selama empat bulan selain bonus perlawanan dan bonus layak ke Liga Super.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengesahkan semua tunggakan gaji membabitkan pemain dan jurulatih musim 2019 sudah diselesaikan menerusi pembayaran penuh.

"Tahun 2020, kami akan bermula dengan sifar hutang dan pengurusan baru yang diambil alih oleh YB Damian Yeo Shen Li menunjukkan kesungguhan dalam komitmen terhadap pasukan," kata Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim.



Editor: Ammar Hakim