Bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, berasakan setiap kelab dalam Liga Malaysia tidak boleh cemburu dengan kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebaliknya perlu mencemburui usaha yang dilakukan pasukan itu dalam membina kemudahan dan legasi tersendiri dalam kancah bola sepak tempatan.

Safiq menyarung Jersi JDT dari 2013 hingga 2018 di mana dia telah memenangi kesemua kejuaraan utama yang ditawarkan dalam saingan tempatan.

Dia juga pernah membantu JDT menjadi pasukan Malaysia pertama memenangi Piala AFC pada 2015.

Sejak dijenamakan semula pada 2013, JDT berkembang menjadi kuasa besar bola sepak tempatan yang cukup dikenali sehingga ke peringkat Asia.

Selain memenangi gelaran Liga Super buat tujuh tahun berturut-turut sejak 2014, mereka turut layak beraksi dalam kejohanan elit kelab Asia, iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL), selama dua musim berturut-turut tetapi terpaksa menarik diri daripada saingan musim ini berikutan ancaman pandemik COVID-19.

Kejayaan JDT itu mencetuskan rasa cemburu buat penyokong kelab lain tetapi Safiq, dalam satu temu bual rancangan Bola@Mamak kelolaan Hafizal Hamad hari ini, berasakan pemain yang menyertai JDT telah melakukan satu keputusan yang tepat dan kejayaan kelab itu perlu dicemburui dengan cara yang betul.

"Tempoh sebagai pemain bola sepak ini hanya sekejap, pada waktu itulah anda perlu menyimpan duit, memulakan perniagaan atau apa sahaja.

"Kita lihat apa yang telah dilakukan JDT sekarang. Anda jangan cemburu dengan apa yang mereka ada. Anda perlu cemburu dengan usaha mereka.

"Mereka melayan pemain seperti pemain berkelas dunia.

"Contohnya, sebelum saya bersama JDT, saya bermain untuk Selangor dan saya boleh memberikan (rating) 6/10.

"Kemudian di Johor saya boleh beri 10/10. Selepas itu saya keluar JDT untuk ke Melaka dan ia menjadi 5/10.

"Maknanya, sudah 10-15 tahun saya bermain dalam bola sepak di Malaysia, masih tiada perubahan dan satu-satunya kelab yang melakukan perubahan adalah JDT.

"Setiap kelab dalam Malaysia jangan cemburu dengan kejayaan JDT tetapi perlu cemburu dengan apa yang telah dilakukan mereka untuk kelab itu.

"Bagi saya, jika anda tidak mempunyai RM100, janganlah berbelanja lebih daripada RM100. Mungkin anda boleh berbelanja RM10.

"Dalam 10 tahun mungkin anda boleh berbelanja RM1,000," katanya.

Safiq turut mengakui bahawa pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah menyediakan fasiliti bertaraf dunia di Johor dan perancangannya selama ini telah terbukti mampu menempatkan JDT sebagai kelab terbaik di Malaysia pada ketika ini.

Dengan itu, setiap kelab di Malaysia perlu mencontohi apa yang dilakukan pasukan itu andai mahu memperoleh kejayaan sama.

"Pemain sepatutnya perlu datang ke sesi latihan dengan memikirkan apa yang hendak mereka lakukan dalam latihan.

"Bukannya memikirkan baju atau kasut apa yang perlu dipakai.

"Sepatutnya kelab sudah sediakan keperluan seperti itu dan pemain boleh fokus 100 peratus mengenai apa yang hendak dilakukan di atas padang.

"Seperti kita masuk ke pejabat tetapi tiada meja, tiada pen, tiada penghawa dingin dan kena buat kerja atas lantai.

"Sama seperti bola sepak, perkara utama adalah padang dan yang kedua adalah fasiliti.

"Pembinaannya hanya sekali tetapi ia boleh digunakan mungkin untuk 10 hingga 15 tahun.

"Kalau kita lihat di negara jiran, Thailand, bilik persalinan mereka amat sederhana tetapi padang mereka bertaraf dunia.

"Contohnya seperti Cardiff City. Mereka hanya kelab kecil dalam liga divisyen dua (England) tetapi ditaja oleh Mercedes.

"Lihat pula fasiliti dan pusat latihan mereka.

"Saya tidak kata ia perlu dilakukan segera tetapi ia perlu dimulakan.

"Sama seperti membina perniagaan, sudah pasti anda mempunyai perancangan tentang di mana kedudukan anda selepas lima atau enam tahun.

"Ketika mula-mula saya menyertai JDT, TMJ menunjukkan kepada saya tentang perancangan JDT sehingga pembinaan stadium dan pada hari ini, JDT sudah mempunyai stadium sendiri," tambahnya.