James Rodriguez dedah Real Madrid halang sertai Atletico

Muzaffar Musa
April 2, 2021 03:20 MYT
James Rodriguez mendedahkan bahawa dia ada berbincang dengan ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, tahun lalu tetapi Real Madrid telah menghalang perpindahan itu daripada berlaku.
Pemain kebangsaan Colombia itu kemudian menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton, pada September lalu selepas bergelut untuk bermain di bawah kendalian Zinedine Zidane musim lalu.
Dia dikaitkan dengan pelbagai pasukan berprofil tinggi sebelum mencuri tumpuan dengan perpindahan ke Goodison Park yang kemudian didedahkan sebagai satu perpindahan percuma.
Atletico merupakan antara pasukan yang menunjukkan minat untuk menandatangani James pada waktu itu dan pemain tengah berusia 29 tahun berkenaan mendedahkan bahawa dia telah dihalang untuk menyertai pasukan seteru Madrid itu.
"Ia sudah hampir untuk saya menyertai Atletico," katanya kepada ESPN.
"Saya sudah berbincang dengan Simeone, dia katakan bahawa saya boleh menjadi pemain penting tetapi Real tidak membenarkannya.
"(Presiden) Florentino Perez sedar bahawa saya tidak akan banyak bermain bersama Zidane. Ia tahun yang buruk dan saya mahu ke Everton untuk bemain dan membuktikan apa yang saya mampu lakukan," katanya.

Acá estamos otra vez ⚽️ pic.twitter.com/diXrmUIVJa

— James Rodríguez (@jamesdrodriguez) March 25, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
James telah menjaringkan lima gol dan mendaftarkan empat bantuan jaringan sepanjang 18 penampilan dalam EPL musim ini.
Ia meletakkannya setaraf dengan Richarlison di tangga kedua pemain terbanyak terlibat dengan jaringan buat Everton musim ini -- di belakang Dominic Calvert-Lewin (14 gol).
Everton kini berada di tangga kelapan EPL dan ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
#Real Madrid #Everton #Atletico Madrid #LaLiga #Liga Perdana Inggeris #James Rodriguez