James perlu serasikan diri dengan wajah baru Everton, kata Benitez

Muzaffar Musa
September 11, 2021 05:46 MYT
Rafael Benitez berkata James Rodriguez perlu berusaha untuk menyesuaikan diri dengan cara permainan baru Everton selepas usahanya untuk meninggalkan Goodison Park gagal termeterai.
James tiba secara perpidahan percuma daripada Real Madrid pada September 2020, di mana pemain perancang itu kembali bersama bekas jurulatihnya, Carlo Ancelotti.
Bagaimanapun, James tidak banyak dapat diturunkan sepanjang musim itu dan The Toffees tidak layak ke saingan Eropah selepas menamatkan kempen di tempat ke-10.
Dengan Ancelotti meninggalkan pasukan itu dan Everton memilih Benitez -- yang kelihatan tidak memberikan kepercayaan buat James sewaktu mengemudi Real Madrid sebelum ini -- selaku penggantinya, spekulasi mengenai perpindahan mengenai pemain tengah itu kian bertiup kencang.
James dikaitkan untuk ke Porto sebagai syarat pertukaran dengan rakan senegaranya Luis Diaz tetapi perpindahan itu tidak menjadi kenyataan dan Everton kemudian memilih untuk mengekalkan pemain berusia 30 tahun itu tetapi Benitez memberikan amaran untuk James berusaha keras merebut tempat dalam pasukannya.
"Dia berlatih bersama pasukan ini. Amat jelas kami telah berbincang mengenai masa depannya, ada beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkannya. Dia masih di sini, masih berlatih bersama rakan sepasukannya," kata Benitez ketika ditanya adakah James akan diturunkan melawan Burnley di laman sendiri Isnin ini.
"Saya tidak terlibat dengan perbincangan itu, saya sedar ada beberapa kelab yang berminat dengannya. Jika tawarannya baik, anda tahu tentang undang-undang kewangan fair play yang kami perlu tepati berkenaan gaji pemain dan untuk membawa masuk pemain baru, jadi ia amat penting untuk kami mencipta ruang dengan pemain lain tetapi kami tidak dapat melakukannya.
"Pasukan ini baik-baik sahaja, pemain memahami apa yang kami mahu lakukan dan dia juga perlu memahami perkara itu. Kemudian kami perlu mengeluarkan yang terbaik daripada setiap pemain.
"Dalam kes ini, dia perlu menyesuaikan diri dengan pasukan ini dan kemudian kami akan mencuba mengeluarkan yang terbaik daripada setiap orang," katanya.
#bola sepak #Everton #Liga Perdana Inggeris #Rafael Benitez #Jamess Rodriguez